Slider

Monday, July 15, 2013

Relaktasi / Mencetuskan Semula Penyusuan Semula Susu Ibu

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Relaktasi ialah memulakan semula penyusuan susu ibu dengan bayi yang sama setelah ianya dihentikan untuk sebab-sebab tertentu

Sebab-sebab sesetengah ibu berusaha untuk relaktasi adalah kerana bayi tidak sesuai dengan susu formula, masalah kesihatan bayi, kekesalan kerana berhenti menyusukan bayi terlalu awal atau mungkin kerana perubahan tugas seperti berhenti kerja dan menjaga bayi sepenuh masa.

Usia 6 bulan ke bawah adalah usia yang realistik untuk kejayaan relaktasi namun ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi jika usia bayi lebih daripada 6 bulan.

Dalam usaha untuk menjayakan relaktasi, ada 2 perkara yang perlu diambil perhatian:
1. Memujuk bayi untuk kembali menyusu daripada payudara ibu;
2. Mencetuskan penghasilan susu (jika susu sudah “tiada”) atau meningkatkan penghasilan susu (jika susu ibu kurang).


Kebarangkalian untuk kejayaan relaktasi bergantung kepada beberapa faktor:
1. Pengeluaran susu sebelum berhenti
Jika ibu pernah menghasilkan susu yang banyak sebelum berhenti menyusu dahulu, kemungkinan untuk menghasilkan susu semula adalah lebih tinggi.
Namun begitu jika bayi berhenti menyusu dahulu kerana ibu “kurang susu”, ibu masih boleh mencetuskan susu semula kerana kemungkinan “kurang susu” berlaku kerana kesilapan teknikal.

2. Berapa lamakah bayi sudah berhenti menyusu daripada ibu?
Semakin lama bayi sudah berhenti menyusu, semakin sukar untuk memujuknya kembali menyusu daripada ibu.
Memang lebih sukar untuk memujuk bayi yang lebih besar untuk kembali menyusu daripada ibu kerana kebiasaan yang “selesa” dengan penyusuan botol dan susu formula.
Namun begitu ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi, walaupun tidak berjaya untuk menyusu secara eksklusif tetapi sekurang-kurangnya sedikit itu lebih baik daripada tiada.

3. Berapa lamakah tempoh bayi pernah menyusu daripada payudara ibu?
Semakin lama tempoh bayi pernah menyusu daripada ibunya semakin mudah untuk memujuknya menerima susu ibu semula.
Jika bayi pernah menyusu secara eksklusif selama 16 minggu (4 bulan), lebih mudah untuknya kembali menyusu daripada ibu berbanding bayi yang hanya menyusu 2 bulan sahaja.
Namun sekali lagi ditegaskan, ibu-ibu masih boleh berusaha untuk relaktasi.


4. Kesediaan ibu.
Relaktasi memerlukan kesediaan yang bersungguh-sungguh daripada ibu.
Ibu yang tidak bekerja memang lebih mudah untuk relaktasi kerana relaktasi memerlukan usaha dan kesabaran yang tinggi.
Sesetengah ibu yang bekerja mengambil cuti panjang untuk menjayakan relaktasi.

Bagaimana caranya?
1. Relaktasi apabila bayi bersedia menyusu daripada payudara ibu. 
Jika bayi dapat menerima puting payudara ibu maka usaha relaktasi menjadi lebih mudah.

Bagaimana melatih bayi menerima payudara ibu semula?
# Kebiasannya ibu-ibu mula melatih bayi menerima payudara ibu pada waktu malam sebelum tidur;
# Tawarkan puting payudara ibu pada ketika bayi dalam keadaan relaks, tidak terlalu lapar, tidak terlalu mengantuk, dalam bilik yang agak gelap, dan tiada gangguan bunyi bising;
# Ambil masa untuk mendakap, membelai dan mengusap bayi dengan lembut dan mesra;
# Jadikan sesi penyusuan sebagai sesi yang membahagiakan;
# Jika bayi menolak payudara ibu, jangan berputus asa, bersabar dan cuba lagi.
# Jangan memaksa bayi menerima payudara kerana ini menyebabkan bayi stress.



Ada 2 paten penerimaan bayi terhadap payudara ibu;
a. Bayi menghisap puting payudara ibu untuk ketenangan seolah-olah seperti menghisap pacifier (puting kosong) dan bayi tidak kisah dengan pengeluaran susu ibu yang sedikit.
# Jika bayi hanya menghisap payudara untuk menenangkannya, ibu-ibu wajar memberhentikan pemberian puting kosong secara perlahan-lahan.Gantikan dengan penyusuan daripada payudara ibu.
# Namun begitu ibu masih perlu menggunakan lactation aid (sejenis peralatan khusus) yang diisi dengan susu formula.
# Biarkan bayi menghisap payudara ibu untuk merangsang pernghasilan susu ibu.
# Jika susu ibu dihasilkan dengan baik, kurangkan pengaliran susu melalui lactation aid

lactation aid (Gambar ihsan Google)


b. Bayi menerima payudara ibu kerana merasa ada susu dihasilkan tetapi berhenti sebaik penghasilan susu berkurang.
# Sebaliknya jika bayi menghisap payudara ibu kerana mahukan susu ibu, lactation aid yang diisikan susu formula boleh digunakan.
# Susu formula di dalam lactation aid perlu diberikan supaya bayi tidak mengamuk kerana kekurangan susu.
# Rasionalnya ialah jika bayi mengamuk dia mungkin menolak terus payudara ibu maka rangsangan terhadap payudara ibu tidak dapat dilakukan.
# Jika bayi terus mengamuk dan tidak mahu menyusu lagi daripada payudara ibu, jangan putus asa, tawarkan susu formula kepada bayi tetapi beri bayi minum menggunakan sudu/cawan dan bukannya botol dan puting tiruan kerana bayi akan keliru puting dan usaha menggembalikan bayi kepada payudara ibu akan terganggu.


Menggunakan lactation aid  (Gambar ihsan google)

2. Relaktasi apabila bayi tidak mahu menyusu daripada payudara ibu.
# Jika bayi tidak mahu menyusu daripada puting payudara ibu, harapan ibu adalah kepada usaha peningkatan penghasilan susu ibu.
# Jika susu ibu bertambah kemungkinan untuk bayi kembali menyusu daripada ibu adalah lebih cerah.
# Atau sekurang-kurangnya ibu boleh memerah susu dan memberikannya kepada bayi.
# Dalam pada itu ibu boleh melatih bayi secara perlahan-lahan untuk kembali menyusu terus daripada ibu.

Feeding cup

Bagaimana meningkatkan penghasilan susu?
# Perah/pam dengan kerap
# Makan makanan berkhasiat dan seimbang
# Menggunakan ubat-ubatan (minta nasihat doktor) seperti Domperidone (motilium)
# Kurangkan stress
# Berfikiran positif

Relaktasi bukanlah sesuatu yang mustahil. Ia boleh mengambil masa secepat 2 minggu atau selewat-lewatnya sebulan untuk berjaya atau gagal. Ibu-ibu wajar berusaha dengan yakin dan bersungguh-sungguh jika benar-benar mahu menjayakan penyusuan semula kepada bayi. Minta nasihat doktor atau pakar laktasi untuk bimbingan yang lebih sempurna.



Sumber: The Ultimate Breastfeeding Book of Answers by Jack Newman, M.D., and Teresa Pitman; kellymom.com, naturalchildbirth.org, idahopublichealth.com


Tips:

1) Yakin. Jika ibu tidak yakin, ianya agak sukar. Maksud saya, once dah buat keputusan untuk relaktasi, bertabahlah walau apa pun dugaan.

2) Berjumpa dengan kaunselor/pakar/doktor yang benar2 boleh membantu ada dalam program relaktasi. Ianya penting.

3) Pengambilan sebarang supplemen/ubat mestilah mengikut perskripsi dan nasihat daripada pakar. Ini penting untuk membolehkan anda tahu apa yang berlaku kepada badan anda sendiri.

supercute


4) Rutin memerah susu hendaklah dijaga dengan penuh konsistensi. Setiap 3-4 jam, 15-20 minit setiap payudara, dan ianya haruslah konsisten. Tanamkan dalam diri susu pasti akan dihasilkan semula jika kitaran supply & demand dijaga. Semakin banyak permintaan (stimulasi dari hisapan bayi atau pam susu), semakin banyak susu akan dihasilkan. Pastikan jadual memerah diisi setiap hari untuk mengetahui perubahan yang berlaku dari segi penghasilan/produksi susu ibu.

5) Ambil makanan penambah susu untuk meningkatkan lagi keyakinan anda. Namun harus diketahui, tidak bergantung harap 100% kepada makanan penambah susu jika rutin pemerahan atau penyusuan tidak diteruskan dengan konsisten kerana makanan penambah susu hanya membantu untuk menggalakkan penghasilan susu, bukan menghasilkan susu.

6) Doa dan doa dan doa yang tidak putus. Niatkan apa yang kita buat ini untuk anak kita, untuk masa depan mereka dan salah satu cara untuk mengharapkan keredhaanNya.



7) Berfikiran positif. Ini AMAT penting. Buangkan semua aura negatif seperti “buang masa je, apa pun tak keluar” atau “boleh ke ni…” atau apa2 kata negatif yang membantutkan aura positif anda. SABAR, itulah kuncinya!

Sumber: Sarakids.com 

Thanks for reading!




Back to Top