Slider

Saturday, November 18, 2017

5 CARA MENCUCI PAKAIAN BAYI YANG BETUL

Kulit bayi yang baru lahir memang amat sensitif. Malah, selepas beberapa bulan pun mereka masih mudah terdedah kepada jangkitan dan habuk dari persekitaran. Oleh itu, setiap langkah pengurusan bayi daripada pengendalian makanan, pakaian, dan aktiviti hariannya perlu diselia dengan cermat.

Salah satu perkara yang kita perlu titikberatkan adalah cara mencuci pakaian bayi. Melalui cara yang betul, ruam, alergi, atau masalah kulit dapat diminimakan. Ia juga menghindari bayi daripada terdedah kepada masalah kesihatan yang lain yang berkaitan.
1. Elakkan Gunakan Sabun Berbau Kuat
Sebagai orang dewasa, kita memang suka pakaian yang berbau wangi. Lebih wangi, lebih bagus, bukan?

Tapi bagi bayi pula lain halnya. Sabun yang berbau kuat ini biasanya mengandungi bahan kimia tidak serasi dengan kulit sensitif. Oleh itu, rendamkan pakaian bayi dalam sabun pencuci khusus yang dicampur bersama air suam. Biasanya sabun bayi ini tidak terlalu harum.

Tidak perlu menggunakan cecair antiseptik melainkan jika telah mendapat arahan doktor. Ini kerana, larutan antiseptik juga ada mengandungi bahan kimia tertentu yang tidak diketahui kesesuaiannya dengan kulit bayi.
2. Asingkan Dari Pakaian Anda
Jangan campurkan pakaian anda atau orang dewasa untuk dicuci atau direndam bersama pakaian bayi. Pakaian kita mungkin mengandungi kotoran yang boleh berpindah kepada pakaian bayi, lalu menjadi punca alergi atau ruam.

Maka, sediakan sebuah bakul khusus untuk anda meletak pakaian kotor bayi selepas dipakai.

3. Cuci Pakaian Yang Baru Beli
Walaupun pakaian yang baru dibeli nampak begitu bersih dan wangi, jangan lupa mencucinya terlebih dahulu sebelum dipakai.

Pakaian tersebut sebenarnya telah melalui proses bertukar tangan yang panjang dari pembuatannya di kilang, pemborong, dan seterusnya ke kedai-kedai pengedar. Di kedai atau pasaraya pun, ramai yang telah memegangnya. Jadi, lebih selamat jika anda mencuci pakaian tersebut agar lebih terjamin kebersihannya.
4. Jemur Dibawah Matahari
Kuasa sinaran matahari dapat melindungi pakaian daripada bakteria. Jadi, seeloknya elakkan menjemur pakaian bayi di dalam rumah atau di tempat yang tertutup.

Kalau rajin, anda juga boleh menggosok pakaian menggunakan seterika. Menurut The Health Site, tindakan ini boleh membantu menjamin kebersihan pakaian bayi kerana kepanasan daripada seterika dapat meminimakan bakteria pada pakaian.
5. Simpan Dalam Tempat Bertutup
Pakaian yang telah dicuci dan dilipat sebaiknya disimpan dalam almari atau bakul yang bertutup.

Tapi jangan risau, sekiranya anda hanya mempunyai jenis yang terbuka, anda boleh menutupnya dengan sehelai napkin atau lampin.

Tidak sukar sebenarnya untuk mengamalkan cara mencuci pakaian bayi yang betul. Dengan langkah ini, anda dapat meminimakan risiko jangkitan atau alahan kepada bayi.

Walaupun mungkin agak leceh berbanding biasa, tetapi tentunya ia lebih selamat demi menjamin kesihatan bayi anda.

sumber : zuriat.my

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Salam sayang;

No comments :

Back to Top