Gegata, sopak garam, kelopak garam atau ludah pontianak. Macam-macam nama diberi untuk penyakit kegatalan kulit ini. Ibu bapa pasti gusar jika anak mereka tiba-tiba sahaja mengalami kulit kegatalan seluruh badan.
Apabila kulit digaru, kulit akan menjadi timbul-timbul kemerahan yang tersangat gatal. Semakin digaru, semakin banyak yang timbul sampaikan penuh satu badan. Menakutkan! Apakah sebenarnya yang telah berlaku?
BAGAIMANA GEGATA / URTICARIA TERJADI?
Gegata atau nama saintifiknya urticaria, terjadi kerana badan menghasilkan terlalu banyak histamindan kadar antibodi IgE di dalam darah terlalu tinggi. Antibodi IgE berfungsi untuk mengenal pasti bahan bahaya yang masuk di dalam badan.
Sekiranya antibodi mengesan bahan asing di dalam badan, ia akan melakukan tindak balas tertentu untuk melindungi badan. Antibodi IgE akan menyebabkan tindak balas alergik pada badan seperti gatal-gatal, bengkak dan sesak nafas.
Alergik berlaku apabila antibodi IgE menghasilkan histamin untuk melawan bahan alergen yang terdapat dalam badan. Histamin lah yang menyebabkan kegatalan pada kulit. Pendek kata, gegata adalah tindak balas alergik badan terhadap bendasing.
Gegata terbahagi kepada akut dan kronik. Akut berlaku dalam tempoh kurang daripada enam minggu, kronik pula ialah apabila kegatalan berpanjangan sehingga lebih daripada enam minggu
PUNCA GEGATA
Punca penyakit kebiasaannya adalah akibat alahan kepada perkara-perkara tertentu. Contohnya,
- Habuk
- Makanan tertentu seperti makanan laut
- Cuaca (terlalu panas atau terlalu sejuk)
- Air tertentu
- Tekanan pada kulit (dermographism) contohnya jika digaru, akan timbul gegata tanpa sebab
Ada juga yang berlaku setelah sembuh daripada demam virus (post viral fever urticaria). Punca gegata menjadi sangat jelas apabila ia berlaku sebaik sahaja terdedah kepada faktor-faktor tersebut.
Tetapi, ada juga gegata yang tidak diketahui puncanya. Biasanya ia adalah jenis kronik, berlaku berpanjangan. Sehingga boleh mencapai bertahun-tahun dan berlaku hampir setiap hari atau setiap minggu tanpa sebarang faktor penyebab yang jelas. Gegata jenis ini memerlukan rawatan daripada pakar, di Malaysia kita rujuk kepada pakar kulit.
Terlalu banyak petua-petua rawatan gegata atau urticaria ini yang masih diamalkan sehingga sekarang antaranya;
- Menyapu garam / kunyit/ minyak geliga/ colgate
- Sapu dengan kapur yang dicampur dengan air limau
- Mandi air garam dan jangan dilap selepas mandi
- Mandi dengan mandian daun bidara dan macam-macam lagi.
Sebenarnya semua petua diatas tidak akan memberikan kesan kerana ia tidak dapat merawat punca gegata. Gegata berlaku pada lapisan dalam kulit (dermis) dan tidak melibatkan lapisan luar kulit (epidermis).
Kulit yang timbul apabila digaru itu adalah daripada bahagian dalam kulit dan ia timbul sehingga kelihatan pada permukaan kulit. Sebaiknya jika anak anda mengalami gegata, bawalah ke klinik untuk rawatan yang betul.
Rawatan untuk gegata adalah berperingkat. Berikut adalah rawatan yang diberikan oleh doktor perubatan di klinik dan hospital;
- Pemberian ubat Antihistamin (loratadine/zyrtec/aerius) secara konsisten. Antihistamin adalah sejenis ubat yang akan menyingkirkan histamin berlebihan yang dihasilkan oleh antobodi IgE
- Ubat ini haruslah diambil dua atau tiga kali sehari, bukannya hanya bila gegata muncul. Ini kerana ubatan antihistamin memerlukan masa untuk menunjukkan kesan.
- Keberkesanan ubat antihistamin boleh dilihat apabila gegata mengecil atau hilang dengan lebih cepat. Kadangkala memang ambil masa sampai 5 hari hingga seminggu untuk hilang sepenuhnya.
- Jika antihistamin tak berkesan, ubat khas untuk menyekat antibodi IgE akan diberi. Tetapi ia memerlukan preskripsi dan pemantauan daripada pakar kulit.
- Sekiranya gegata tidak hilang, disarankan untuk mendapatkan rujukan ke pakar kulit.
Ibu bapa juga perlu mengenal pasti apakah punca yang menyebabkan anak mereka mengalami alahan. Cuba periksa makanan, kebersihan rumah atau haiwan peliharaan yang mungkin menjadi penyebab. Dengan mengetahui apakah alahan si kecil, ibu bapa boleh mengelak gegata daripada berlaku lagi.
Artikel ini merupakan olahan daripada perkongsian Dr. Al-Huda Binti Kamarudin (Pakar Dermatologi) di group Facebook ‘Masyarakat Kena Tahu (Ori)’ – akses 14 March 2017
sumber : zuriat.my
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Salam sayang;
Salam sayang;
No comments :
Post a Comment