Slider

Thursday, October 19, 2017

7 Pantang Bagi Ibu Menyusu

Apabila menyusukan anak, sebenarnya tubuh badan kita sedang bekerja untuk menghasilkan nutrisi yang sangat diperlukan oleh si kecil. Sepanjang 6 bulan terutamanya, si kecil bergantung sepenuhnya kepada susu badan dan masih belum memakan sebarang makanan lain.

Walaupun susu badan adalah susu yang terbaik, namun ada masanya susu boleh berubah rasa dan kualiti oleh sebab diet dan pemakanan ibu. Oleh itu, penting untuk ibu-ibu menjaga kualiti susu badan agar si kecil mendapat susu badan yang berkualiti dan terbaik.

Berikut adalah beberapa pantang ibu menyusu yang perlu anda ketahui.
1. JAMU DAN UBAT
Bukan semua jamu yang boleh anda makan semasa dalam pantang. Ada sesetengahnya dapat menimbulkan masalah kesihatan bagi bayi yang tidak serasi dengannya. Sekurang-kurangnya, tunggu 14 hari selepas bersalin sebelum mencuba sebarang produk kesihatan atau suplemen herba.

Seeloknya, baca label dengan teliti dan beli dalam kuantiti kecil terlebih dahulu. Sekiranya bayi tidak terganggu dengan penyusuan, barulah anda meneruskan pengambilannya. Elakkan sama sekali produk-produk yang diragui dan tidak diperakui oleh badan-badan berdaftar.

Sekiranya anda jatuh sakit dan perlu memakan ubat, pastikan anda memberitahu doktor bahawa anda sedang menyusu supaya mereka dapat mempreskripsikan dos dan jenis ubat yang khusus.

2. DIET BERLEBIHAN
Selepas bersalin, mungkin ada wanita yang rasa stres melihat perut mereka yang menggeleber. Oleh sebab itu, ada yang cepat-cepat memulakan diet untuk kembali kepada bentuk badan asal.

Tak salah jika anda memilih makanan yang berkhasiat, namun pastikan anda turut mengambil makanan daripada semua piramid makanan agar semua nutrisi lengkap dapat diperolehi oleh tubuh. Rejim diet yang terlalu ketat juga boleh menjadi punca susu badan anda merudum dan semakin berkurang.
3. BUAH-BUAHAN CITRUS
Elakkan memakan buah-buahan sitrus seperti oren, limau, dan lemon terlalu banyak kerana ia boleh menyebabkan masalah kepada sistem penghadaman bayi yang belum matang.

Menurut sumber, ia juga boleh menjadi punca ruam lampin kepada bayi jika diambil secara berlebihan. Oleh itu, pelbagaikan pengambilan vitamin C melalui buah-buahan lain seperti jambu batu, epal, betik, dan anggur.

4. MAKANAN PEDAS
Tidak semua bayi akan meragam dan mogok menyusu apabila ibunya memakan makanan pedas. Namun, anda mungkin akan mendapati sesetengah bayi amat sensitif terhadapnya, lebih-lebih lagi sekiranya bayi menyusu badan dalam masa 1 jam selepas anda memakannya.

Oleh itu, jika anda minat dengan makanan pedas, cuba makan makanan tersebut dalam kuantiti kecil dahulu untuk melihat reaksi bayi.
5. GANDUM
Sesetengah bayi akan berasa tidak sedap perut, kembung, dan sembelit akibat alahan terhadap gandum yang terdapat dalam roti, pasta, mee, dan pastri.

Sekalipun bayi tidak meragam, anda boleh memantaunya melalui najis bayi. Jika ia tidak kelihatan normal dan nampak berketul, kering, dan berdarah, cuba elakkan makanan yang bergandum selama 2-3 minggu. Sekiranya najis mereka kembali normal dalam tempoh tersebut, mungkin bayi anda alah terhadap gandum.

6. SOYA DAN PRODUK TENUSU
Susu, produk tenusu seperti keju dan yoghurt, serta soya adalah antara makanan yang paling kerap menjadi alahan kepada bayi dan anak kecil. Sungguhpun mereka tidak meminumnya secara terus, proses penceraian makanan ini boleh membawa alergen yang sama untuk masuk ke dalam susu badan.
7. KAFIEN
Salah satu minuman yang perlu dihadkan pengambilannya semasa menyusu badan adalah minuman berkafein seperti kopi, teh atau soda.

Antara kesan yang boleh dialami akibat kafein ini adalah masalah sukar tidur, meragam, dan ketidakselesaan. Seelok-eloknya, hadkan pengambilan kopi harian anda kepada 1 gelas sehari.

Jangan rasa tertekan sekiranya anda tidak dapat memakan makanan kegemaran anda semasa menyusu badan. Pantang ibu menyusu ini hanya berlangsung buat sementara saja. Tambahan pula, tidak semua bayi yang alah terhadapnya.

Pemilihan makanan adalah mustahak supaya anda juga dapat nutrisi yang baik untuk menggalakkan lagi penghasilan susu badan yang berkualiti. Paling penting, banyakkan minum air ya!

sumber : zuriat.com
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Salam sayang;
me.me/farihah.surijunior
wasap.my/+60192282147

No comments :

Back to Top