Slider

Monday, June 12, 2017

Sneck Sihat Untuk Ibu Hamil

Pada masa awal kehamilan, adalah waktu yang mencabar bagi ibu hamil. Terutama bagi ibu yang kurang selera makan. Pemakanan yang sihat sangat penting terutama bagi ibu hamil. Namun, ada kalanya ibu hamil inginkan snek bagi mengurangkan rasa lapar yang sering mengganggu setiap masa.

Snek berkhasiat
1. Trimester pertama
Dalam tempoh trimester pertama, anda mungkin tidak dapat makan hidangan dengan baik kerana masalah mabuk hamil. Jika ini berlaku, snek boleh membantu.
Jika makan sedikit dan kerap, ini sama penting dengan membuat perancangan makanan yang hendak dimakan bagi mengelakkan sajian tidak berkhasiat.
Tempoh trimester pertama tidak memerlukan lebih kalori. Bagaimanapun, anda perlukan lebih folat (bentuk asid folik dalam makanan) dan makanan tambahan asid folik.
Bagi mendapatkan snek yang kaya dengan folat, sediakan salad menggunakan daun bayam kecil dan ubi bit atau kukus asparagus yang dimakan dengan pencicah.
Makan banyak buah oren dan tembikai kantelup. Simpan roti berserat tinggi dalam peti sejuk supaya anda boleh ambil sekeping apabila memerlukannya.
Selain itu, vitamin A sangat penting bagi perkembangan organ, sistem peredaran, pernafasan dan saraf bayi.Justeru, ibu hamil memerlukan banyak vitamin A sepanjang kehamilan.
Vitamin A daripada sumber haiwan dipanggil retinol. Telur dan keju ialah sumber yang baik. (Jangan makan hati kerana ia mengandungi retinol pada tahap yang terlalu tinggi dan boleh membahayakan anda semasa hamil.)
Vitamin A dalam tumbuh-tumbuhan diperoleh dalam bentuk karotina terutama betakarotina. Buah dan sayur berwarna oren mengandungi betakarotina.
Masukkan potongan buah mangga, pic dan betik ke dalam bijirin. Anda juga boleh membuat smoothies untuk dibawa ke tempat kerja. Boleh juga mencuba sediakan sup daripada lobak merah, labu air dan keledek.
2. Trimester kedua
Dalam trimester kedua, masih tidak perlu meningkatkan pengambilan kalori. Sebaliknya, fokus kepada mendapatkan kalsium yang cukup. Pada ketika inilah gigi dan tulang bayi mula terbentuk.
Kehamilan tidak meningkatkan keperluan kalsium. Ibu hamil mempunyai simpanan kalsium dalam badan yang boleh memenuhi keperluan bayi.
Bagaimanapun, ibu hamil perlu memenuhi simpanan kalsium dalam badan. Diet yang kaya dengan kalsium juga memberi kebaikan seperti mengurangkan risiko mengalami tekanan darah tinggi.
Produk tenusu (pililah yang rendah lemak sekiranya boleh) membekalkan banyak kalsium yang mudah diserap oleh badan. Yogurt ialah snek yang mudah atau minum susu pada waktu malam untuk membantu anda rasa mengantuk.
Jika tidak boleh mengambil produk tenusu, pilihlah produk soya yang diperkaya dengan kalsium. Buah tin kering dan badam yang juga mengandungi kalsium mudah dibawa ke mana-mana.
Satu lagi mineral yang penting bagi tulang ialah magnesium. Justeru, makanlah snek yang kaya dengan magnesium seperti segelas susu, sebiji kentang bakar atau segenggam biji-bijian.
Magnesium juga membantu badan bekerja dengan lebih efisien di samping menukarkan makanan yang dimakan kepada tenaga dan melaraskan suhu badan.
3. Trimester ketiga
Apabila sampai ke trimester ketiga, ibu hamil memerlukan lebih tenaga, vitamin C dan tiamin (vitamin B1). Tenaga tambahan yang diperlukan hanyalah 200 kalori, tetapi daripada mengunyah sekeping coklat, fikirkan snek lain yang turut membekalkan nutrisi berbeza.
Sekeping roti bakar bijirin penuh dengan ekstrak yis dan sebiji tomato atau semangkuk sup cendawan diikuti buah oren mandarin yang lain juga bagus. Vitamin C sangat penting sepanjang kehamilan dan memainkan peranan yang penting dalam melindungi sel daripada rosak serta memastikan sistem imun badan dalam keadaan baik.
Vitamin C juga memainkan peranan dalam memastikan plasenta berkembang dan berfungsi dengan baik. Ia juga membantu lapisan dinding perut menyerap zat besi daripada makanan.
Sesetengah buah dan sayur mengandungi vitamin C yang tinggi, makanlah ia sebagai snek terutama strawberi dan kiwi, smoothie atau salad. Vitamin C boleh terhapus jika makanan dimasak terlalu lama, cubalah makan sayuran mentah. Brokoli dan bunga kubis atau lada benggala enak jika dicicah dengan sos salsa.
Tingkatkan pengambilan vitamin B dengan memakan bijiran sarapan yang diperkaya dan pilihlah yang rendah kandungan gula serta tinggi serat. Vitamin dalam kumpulan vitamin B ialah vitamin B1 (tiamin), B2 (riboflavin), B6, B12, niasin dan folat.
Keperluan bagi tiamin meningkat dalam trimester terakhir untuk membantu ibu hamil mengeluarkan tenaga daripada makanan. Kekacang, beras perang dan sayuran hijau sumber tiamin yang baik.
Snek mudah terdiri daripada sekeping roti bijian bakar dengan kacang panggang dapat membekalkan khasiat yang diperlukan. Masalah sembelit mungkin menjadi lebih teruk dalam trimester ketiga.
Ketika ini, bayi yang semakin membesar menghimpit usus kecil ibu dan memperlahankan pergerakan makanan melalui usus. Serat dan air amat penting untuk mengurangkan sembelit. Sekurang-kurangnya, ibu hamil perlu minum 1.5 liter cecair sehari.
Pengambilan cecair diambil daripada air kosong, minuman tidak berkafein, jus atau sup, malah makanan juga. Serat pula boleh didapati dalam bijirin bijian penuh, buah dan sayur. Pilihlah nasi beras perang serta roti bijian dan pastikan makan lima hidangan buah dan sayur sehari.
-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Salam Sayang,
Farihah / Kak Eha 
http://wasap.my/+60192282147

Like Page kami untuk Info kesihatan & Business
We L.O.V.E Breastfeeding
Surijunior

No comments :

Back to Top